Menuju tahun 2020,masalah keruntuhan akhlak dalam
kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti tiada penghujungnya. Jika kita lihat senario
pada hari ini, ramai dalam kalangan remaja kita terlibat dengan gejala sosial
seperti meragut, mencuri dan sebagainya. Namun demikian apakah puncanya? Hal
ini disebabkan oleh kegagalan institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan
yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak sepatutnya bekerjasama dalam
mempertahankan kebahagiaan institusi kekeluargaan masing-masing. Ibu bapa
seharusnya melindungi dan mendidik anak supaya mereka tidak tersalah arah dan
terlibat dengan gejala sosial.
Kegagalan institusi kekeluargaan berpunca daripada
kekurangan ilmu tentang hidup
berkeluarga dan pelbagai ilmu dalam perkahwinan. Masyarakat kini ramai yang
berkahwin dalam usia muda kerana terlalu mengikutkan perasaan dan hawa nafsu.
Mereka sepatutnya mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu supaya setiap
perkara yang terjadi dalam rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik
dan berdiplomasi. Jika mereka tiada ilmu atau kurang ilmu, setiap perselisihan
faham yang berlaku akan menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya
berlakulah penceraian. Hal ini menyebabkan anak-anak mereka yang akan terkena
tempias atas kekhilafan diri mereka sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila
setitik rosak susu sebelanga. Anak-anak yang tertekan denagn masalah penceraian
tersebut akan mencari kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri
seperti melarikan diri mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh
memberikan kebahagiaan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa
kekurangan ilmu dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya
keruntuhan akhlak.
Seterusnya, keruntuhan institusi kekeluargaan juga
berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar kemewahan duniawi
tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam dunia yang
sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka menyediakan
segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih sayang yang
secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan insan yang
perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna. Jika ibu bapa
terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu hari nanti
anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa mereka atas
kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak ini juga akan
menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan perkara yang tidak
berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak anak ini ibarat
kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan
peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang lebih
berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa
kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak dalam
diri remaja.
Selain itu, keruntuhan institusi kekeluargaan juga
berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama. Hal ini demikian
kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang bahagia. Institusi
kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan goyah walaupun
ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang tidak berpegang
kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai melanda. Anak – anak
yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk melakukan perkara-perkara
negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak ini perlu dididik menghayati
agama sejak kecil lagi seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Jika sudah menginjak ke usia remaja, mereka sukar menerima nasihat
dan melakukan perubahan. Mereka lebih rela membuat keputusan tanpa memikirkan
kesan dan tidak berpaksikan pada ajaran agama. Akibat daripada itu, mereka
mungkin akan terjebak dalam perkara yang tidak sihat seperti merokok dan
sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan agama boleh mengakibatkan keruntuhan
institusi kekeluargaan.
Akhir sekali, keruntuhan institusi kekeluargaan
berpunca daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini demikian kerana,
dalam dunia yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan kelansungan
hidup. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau pekerja
kolar biru , mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk keluarga
mereka. Hal ini juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas untuk
mendapatkan segala keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan sebagainya. Pada usia remaja, mereka sering berasa iri
hati apabila melihat rakan-rakan yang mampu untuk mendapatkan apa yang mereka
mahu seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Namun demikian,
seorang anak yang prihatin tidak akan membebankan ibu bapanya dengan meminta
lebih daripada apa yang mampu diberikan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu
menyimpan untuk kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan
kepada anak anak. Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit
boleh menyebabkan anak anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan
apa yang mereka mahu.
Tuntasnya, untuk mengelakkan berlakunya kegagalan
institusi keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak remaja, ibu bapa
seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini demikian kerana, segala
kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak terutamanya remaja akan
menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak dengan masalah sosial
yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu bahawa kegagalan mereka
dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan dalam diri anak-anak mereka.
Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka perlu didisiplinkan supaya
menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang akan membawa negara kita ke
persada antarabangsa yang terkenal dengan kebudayaan dan budi pekerti yang
tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi pekerti. Maruah negara kita pada
masa hadapan berada di tangan anak anak remaja kini. Jadi, mereka perlu bangkit
daripada dunia angan-angan untuk menempuh dunia realiti.