Di malaysia, warga tua sering dibiarkan dan ditempatkan
di rumah orang-orang tua. Definisi warga tua ialah orang yang berusia 60 tahun ke atas. Mereka
ini sering dibiarkan sendirian oleh anak-anak walaupun terang lagi bersuluh
bahawa tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa ialah tanggungjawab seorang anak.
Mereka yang mempunyai kerjaya sering menghantar ibu mereka ke rumah kebajikan
untuk melepaskan diri mereka daripada tanggungjawab. Adakah tindakan insan yang
berjaya ini wajar? Mereka sepatutnya lebih peka terhadap keperluan ibu bapa
mereka yang telah lanjut usia berbanding mengejar harta dunia yang tidak akan
kekal lama. Oleh itu, terdapat pelbagai keperluan yang diperlukan oleh warga
tua.
Perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak merupakan
salah satu keperluan warga tua. Hal ini demikian kerana, kebanyakan warga tua
hidup bersendirian selepas salah satu pasangan meninggal. Mereka ini bersifat
sensitif dan mudah terasa apabila di pinggirkan dan dibiarkan oleh anak-anak
tanpa bertanya khabar .Dengan kehadiran anak-anak dan cucu, kekosongan dalam
hidup warga tua itu dapat diisi. Mereka tidak menginginkan harta atau apa-apa
kerana mereka hanya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak
dan cucu. Anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua
atas alasan sibuk bekerja dan tiada masa untuk diluangkan bersama adalah
anak-anak yang tidak mengenang jasa. Walaupun, di rumah orang-orang tua mereka
terjaga dan terdapat kemudahan yang lengkap , namun jauh di sudut hati mereka
inginkan layanan dan kasih sayang daripada anak-anak sendiri. Oleh itu,
perhatian dan kasih sayang merupakan keperluan utama warga tua.
Seterusnya, mereka memerlukan tempat tinggal yang
selesa untuk didiami. Hal ini demikian kerana rumah yang sudah usang seperti
dinding berlubang, atap bocor, lantai berlubang dan sebagainya mengundang
pelbagai jenis binatang atau serangga berbisa. Keadaan rumah seperti ini tidak
sepatutnya didiami oleh warga tua kerana boleh mengancam nyawa mereka. Sebagai
warga komuniti yang perihatin, kita boleh membuat kerja amal untuk membersihkan
rumah warga tua dengan bantuan agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan seperti
Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian pembangunan wanita, keluarga dan
masyarakat. Bantuan yang di berikan dapat meringankan beban warga tua seperti,
makanan, tilam, kerusi roda bagi yang tidak berkemampuan untuk berjalan dan
sebagainya untuk meneruskan kelansungan hidup. Dengan itu, keselesaan warga tua
amat penting untuk menjamin kehidup yang lebih bermakna bagi mereka.
Seterusya, mereka juga memerlukan teman berkomunikasi
untuk meluahkan perasaan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan warga tua tinggal
bersendirian dan tiada teman untuk berbicara dan berkongsi rasa. Mereka juga
seperti insan muda yang inginkan teman untuk berbual dan bercerita. mereka
kadang kadang ingin meluahkan kekecewaan
mereka terhadap anak-anak mereka kerana alpa dengan tanggungjawab untuk menjaga
ibu bapa ketika tua. Mereka tiada tempat untuk mengadu jika sakit, tiada suara
untuk menenangkan mereka ketika menghadapi musibah dan tiada tangan untuk
membantu mereka ketika susah. Mungkin mereka hanya mampu menangisi nasib mereka
di dalam hati. Anak anak sewajarnya meluangkan masa bersama ibu bapa walaupun
sekejap untuk bertanya khabar atau mendengar luahan hati daripada ibu bapa
mereka. Jika mereka sabar dan sentiasa mendengar luahan dan rintihan kita sejak
kecil lagi, mengapa kita tidak mampu untuk mendengar luahan serta rintihan ibu
bapa kita apabila mereka sudah tua? Jadi , anak anak boleh berkomunikasi dengan
ibu bapanya supaya ibu bapa tersebut dapat meluahkan perasaan mereka.
Tuntasnya, semua
pihak boleh membantu untuk menyedikan keperluan kepada warga tua. Namun, setiap
anak wajib mengutamakan keperluan ibu bapa semasa tua jika mereka masih hidup kerana
mereka amat memerlukannya. Warga tua sebenarnya tidak inginkan harta kekayaan
mereka hanya kasih sayang dan perhatian daripada anak anak. Kadang kala sikap
mereka ibarat bayi kecil yang baru dilahirkan. Inginkan dirinya disayangi,
dibelai dan ditemani. Sikap mereka yaNg mudah kecil hati akan terubat dengan
keikhlasan kita menjaganya. Jadi, kita harus menghargai mereka sementara mereka
masih ada.jangan tunggu hingga mereka tiada baru hendak tercari cari..