Monday 10 June 2013

RASUAH

Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini. Definisi rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapatkan sesuatu denagn cara yang mudah dan cepat tetapi salah mengikut undang-undang negara. Gejala ini merupakan duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita. Syed Hussein al atas menyatakan bahawa rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), malaysia berada pada tangga ke 47 daripada 180 buah negara pada tahun 2008 dan keadaan ini amat membimbangkan kerana gejala rasuah ini memberi kesan yang buruk kepada nama baik negara kita. Rasuah yang berleluasa juga mencemarkan integriti dan maruah malaysia sekaligus menimbulkan kesan negatif.

Gejala rasuah di malaysia berada pada tahap sederhana dan terkawal. Namun begitu, amalan rasuah masih berlaku dalam semua peringkat kehidupan manusia. Amalan rasuah juga merupakan penyakit masyarakat yang sukar diatasi kerana pengetahuan tentang keburukan gejala rasuah ini kurang diketahui oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun, masyarakat sekarang yang masih mengamalkan amalan rasuah ini harus sedar bahawa undang-undang negara kita tidak akan memandang enteng amalan rasuah ini kerana perkara ini merupakan amalan yang buruk yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat setempat mahupun negara. Pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang berat kepada pembeeri dan penerima rasuah jika mereka ditangkap. Statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan kes rasuah yang disiasat meningkat dua kali ganda, daripada 663 kes (2001) kepada 1317 (2006). Bilangan tangkapan juga meningkat dari 318 (2001) kepada 564 (2006). Jika amalan ini masih berterusan, ia dapat menggugat keutuhan masyarakat dan tidak mustahil suatu hari nanti negara kita akan tergadai.

Setiap perkara yang berlaku pasti ada puncanya seperti yang nyatakan dalam perumpamaan melayu, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Salah satu puncanya ialah kurangnya didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana, pegangan agama yang kuat mampu membendung gejala ini dan setiap agama juga melarang penganutnya melakukan sesuatu yang boleh memudarkeluarga, masyarakat dan negara. Orang yang tidak mempunyai iman yang kuat senang terpengaruh dengan kebendaan dan sering mengejar kekayaan.  Mereka harus sedar bahawa setiap wang yang dibelanjakan hasil daripada rasuah merupakan wang haram dan tidak boleh digunakan untuk keperluan harian anak-anak. Hal ini demikian kerana, dalam agama Islam terutamanya, melarang keras penganutnya melakukan amalan ini dan jika mereka membeli makanan daripada wang hasil rasuah makanan itu haram diberikan kepada anak-anak untuk dimakan kerana makanan yang haram dapat menggelapkan hati manusia. Oleh itu, didikan agama amat penting dan merupakan asas untuk membendung segala masalah sosial seperti rasuah.

Setiap punca masalah ynag berlaku pasti ada jalan penyelasaiannya bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita ingin membendung gejala ini, pasti ada langkahnya. Ibu bapa dan guru perlu menanamkan nilai murni dalam jiwa setiap anak tentang keburukan rasuah. Hal ini demikian kerana, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sendiri perlulah bersikap jujur kepada diri sendiri iaitu, ibu bapa sendiri perlulah menjauhi amalan rasuah kerana jika ibu bapa yang melakukan rasuah dan cuba untuk menasihati anak-anaknya untuk tidak melakukan perkara itu, nescaya anak itu tidak akan mendengar nasihat ibu bapanya. Hal ini disebabkan oleh ketidakcekapan ibu bapa untuk menanam atau memupuk nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Pihak guru juga boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah ini kepada pelajar-pelajarnya sebagai pengetahuan juga sebagai teladan dalam kehidupan seharian. Dengan itu, kerjasama daripada pihak ibu bapa dan guru boleh melahirkan pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni yang baik dan benci kepada amalan rasuah.

Kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk membendung amalan ini juga amat penting. Kerajaan telah menggubal Pelan Integriti Nasional PIN. Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia  dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysi. Institut Integriti Malaysia (IIM), ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.  Kedua dua in juga ditubuhkan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan tentang keburukan rasuah. Pada tahun 2008, Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah SPRM telah diluluskan di Dewan Rakyat dan ia bermaksud SPRM diberi kuasa penuh untuk menghapuskan rasuah. Oleh itu, rasuah merupakan penyakit yang perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih serius.


 Tuntasnya, semua pihak tidak kira pangkat atau harta, mestilah bersatu dan menggembleng tenaga untuk memeastikan rasuah gejala yang berjangkit ini dapat diatasi. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Rasuah  juga terjadi disebabkan faktor dalaman dan luaran. Rasuah juga berlaku di mana-mana sahaja tanpa batas waktu dan tempat. Pihak berkuasa terutamanya perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala ini kerana umum diketahui, ramai pihak berkuasa menerima rasuah dan tidak amanah melaksanaknan tugas dan tanggungjawab. Harapan saya agar amalan rasuah ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Tindakan yang diambil hendaklah saksama dan bukan sekadar terhadap golongan “ikan bilis” tetapi juga terhadap golongan atasan. Mereka yang bersalah wajar dikenakan hukuman yang berat kerana telah mereka telah menconteng arang kepada negara kita.

KEPENTINGAN REMAJA MENYERTAI KEGIATAN SUKARELAWAN

Di malaysia, terdapat pelbagai pertubuhan sukarelawan yang diasaskan seperti MERCY, KDN, RELA dan sebagainya. Pertubuhan sukarelawan bermaksud pertubuhan diasaskan oleh bukan badan kerajaan atau NGO amat penting untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan. Pertubuhan sukarelawan selalunya membantu mangsa-mangsa yang ditimpa bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Pertubuhan ini berdiri tanpa sokongan kewangan dan dana daripada kerajaan dan mendapat sumbangan daripada orang awam. Pertubuhan ini ditubuhkan atas nama kemanusiaan dan insan yang berbakti secara sukarela tidak mengharapkan ganjaran. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood merupakan presiden MERCY Malaysia dan pertubuhan ini ditubuhkan berikutan perang di Kosovo. Walaupun beliau pernah ditembak ketika membuat misi kemanusiaan, semangat beliau tidak pernah luntur untuk membantu mangsa-mangsa ynag mengalami musibah. Namun malangnya, pertubuhan ini kurang diminati oleh golongan remaja walaupun peranannya sangat besar. Oleh itu, langka-langkah sewajarnya perlu diambil.


Kepentingan menyertai kegiatan sukarelawan ialah remaja dapat melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Remaja semestinya tahu bahawa ilmu tidak diperoleh hanya di bilik kuliah atau kelas semata-mata. Ilmu itu luas seperti lautan. Ilmu juga dapat diperolehi melalui pengalaman dan penglibatan dalam kegiatan kemanusiaan. Contohnya, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sering terlibat dalam membantu mangsa dalam bencana alam seperti banjir. Ahli JPAM amat diperlukan untuk membawa mangsa-mangsa banjir ke tempat yang selamat. Mereka harus mengorbankan nyawa mereka sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Mereka juga akan menyediakn bantuan dari segi makanan, selimut dan lain-lain kepada mangsa. Pengetahuan yang mereka dapat boleh mereka manfaatkan jika kejadian bencana alam berulang lagi. Usaha mereka sewajarnya dihargai dan layak di beri pingat keberanian kerana sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan orang lain. Jadi, pengalaman ynag diperoleh tidak dapat ditukar ganti dengan wang ringgit.



Selain itu, remaja digalakkan menyertai kegiatan kesukarelawan untuk mengelakkan daripada terjebak dengan gejala negatif. Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai golongan remaja terlibat dengan gejala negatif seperti lumba haram, lepak, vandalisme, ponteng dan pelbagai lagi aktiviti ynag tidak sihat. Aktiviti tidak sihat seperti ini boleh menghakis moral dan kesantunan remaja sekalian. Alangkah baiknya jika mereka menyertai kegiatan kesukarelawan. Kudrat remaja yang kuat amat diperlukan dalam pertubuhan sukarelawan kerana kebanyakan ahli-ahli pertubuhan merupakan golongan yang berumur lingkungan 40 keatas dan semestinya kudrat mereka tidak sekuat golongan remaja. Remaja juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah serta dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang menyertai aktiviti seperti ini akan dapat membuka minda tentang kehidupan orang yang di timpa musibah dan dapat melahirkan rasa simpati dan empati. Dengan itu, remaja dapat menjadi contoh kepada rakan sebaya yang lain.

Remaja dapat mengasah bakat kepimpinan dengan menyertai aktivi kesukarelawan. Aktiviti ini juga penting untuk membentuk jati diri dan persiapan untuk kerjaya pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan generasi muda gagal berkomunikasi dengan baik di khalayak ramai. Mereka gagal untuk meyakinkan orang lain dan orang lain juga susah untuk memberi sesuatu amanah atau tanggungjawab kepadanya. Apabila golongan remaja ini menyertai aktiviti kesukarelawan mereka sebenarnya terdedah kepada suasana luar yang terarah kepada kehidupan sebenar atau realiti kehidupan. Secara tidak langsung golongan remaja ini dapat melatih diri mereka untuk berkomunikasi dengan orang lain dan dapat membina keyakinan diri. Jika mereka berkeyakinan, mereka boleh memimpin sesuatu organisasi atau kumpulan yang ditubuhkan serta dapat membuta keputusan dengan tepat. Jadi, remaja yang berkeyakinan ialah remaja yang boleh memimpin.


Di samping kepentingan menyerti kegiatan kesukarelawan, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk menarik minat remaja meyertai aktiviti ini. Kerajaan boleh menubuhkan skuad muda melalui kerjasama dengan kementerian pendidikan dan pertubuhan sukarelawan yang terdapat di malaysia. Pihak sekolah khususnya boleh menubuhkan kelab skuad muda untuk memberi peluang kepada pelajar untuk berbakti kepada orang yang mengalami kesusahan. Guru-guru boleh menggalakkan para pelajar meyertai kelab ini dengan menerangkan kepentingan meyertai kelab seperti ini. Terdapat pelbgai aktiviti yang boleh dilakukan oleh kelab ini antaranya melawat persatuann MERCY malaysia, memberi bantuan kepada mangsa bencana alam di tempat yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Aktiviti seperti ini dapat menunjukkan suasana dan realiti sebenar tentang aktiviti kesukarelawan. Jadi, golongan pelajar juga boleh membantu dalam aktiviti kesukarelawan dan bukanya ahli sukarela sahaja.

Seterusnya, sumbangan dana kepada penbangunan bidang kesukarelawan oleh orang awam atau kerajaan. Walaupun pertubuhan kesukarelawn ini bukannya organisasi kerajaan tapi kita mestilah saling membantu untuk kesejahteraan rakyat. Jika tiada dana atau sumbangan, sesuatu organisasi itu susah untuk bergerak kerana organisasi terbabit memerlukan dana untuk membeli keperluan untuk mangsa-mangsa bencana alam. Hal ini demikian kerana bencana yang terjadi akan berlaku tanpa kita sedari bak kata pepatah malang tidak berbau. Jika berlaku bencan alam, mangsa-mangsa tidak akan sempat untuk menyelamatkan apa-apa, namun mereka dinasihati supaya berjaga- jaga. Contohnya, kawasan yang sering berlaku banjir sentiasaa dinasihati supaya bersedia dan pastikan dokumen penting dibawa bersama ketika menyelamatkan diri. Oleh itu, sumbangan dan dana amat penting untuk memastikan kelancaran sesuatu organisasi.


Tuntasnya, kegiatan kesukarelawan ini amat penting bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di seluruh dunia. Kita harus sedar bahawa Persatuan MERcy malaysia merupakan  persatuan sekarelawan pertama yang sampai di acheh ketika bencana tsunami berlaku di sana. Ini menunjukkan bahawa rakyat malaysia merupakan rakyat yang prihatin dan sedia membantu tanpa mengira negara. Misi kemanusiaan lain seperti di iran, afghanistan, kosovo dan sudan merupakan misi kemanusiaan ynag diterajui oleh seorang wanita ynaag tidaak pernah mengenalm erti putus asa dan sentiasa berkobar-kobar untuk menyelamatkan mangsa-mangsa bencana. Oleh itu, negara kita memerlukan golongan remaja iaitu aset negara untuk menerajui persatuan tersebut atau menubuhkan persatuan sukarelawan lain dan meneruskan kegemilangan ynag telah dikecapi. Jadi golongan remaja harus menggenggam bara api biar sampai jadi arang untuk meneruskan kegiatan kesukarelawan dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam.