Monday 10 June 2013

RASUAH

Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini. Definisi rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapatkan sesuatu denagn cara yang mudah dan cepat tetapi salah mengikut undang-undang negara. Gejala ini merupakan duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita. Syed Hussein al atas menyatakan bahawa rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), malaysia berada pada tangga ke 47 daripada 180 buah negara pada tahun 2008 dan keadaan ini amat membimbangkan kerana gejala rasuah ini memberi kesan yang buruk kepada nama baik negara kita. Rasuah yang berleluasa juga mencemarkan integriti dan maruah malaysia sekaligus menimbulkan kesan negatif.

Gejala rasuah di malaysia berada pada tahap sederhana dan terkawal. Namun begitu, amalan rasuah masih berlaku dalam semua peringkat kehidupan manusia. Amalan rasuah juga merupakan penyakit masyarakat yang sukar diatasi kerana pengetahuan tentang keburukan gejala rasuah ini kurang diketahui oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun, masyarakat sekarang yang masih mengamalkan amalan rasuah ini harus sedar bahawa undang-undang negara kita tidak akan memandang enteng amalan rasuah ini kerana perkara ini merupakan amalan yang buruk yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat setempat mahupun negara. Pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang berat kepada pembeeri dan penerima rasuah jika mereka ditangkap. Statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan kes rasuah yang disiasat meningkat dua kali ganda, daripada 663 kes (2001) kepada 1317 (2006). Bilangan tangkapan juga meningkat dari 318 (2001) kepada 564 (2006). Jika amalan ini masih berterusan, ia dapat menggugat keutuhan masyarakat dan tidak mustahil suatu hari nanti negara kita akan tergadai.

Setiap perkara yang berlaku pasti ada puncanya seperti yang nyatakan dalam perumpamaan melayu, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Salah satu puncanya ialah kurangnya didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana, pegangan agama yang kuat mampu membendung gejala ini dan setiap agama juga melarang penganutnya melakukan sesuatu yang boleh memudarkeluarga, masyarakat dan negara. Orang yang tidak mempunyai iman yang kuat senang terpengaruh dengan kebendaan dan sering mengejar kekayaan.  Mereka harus sedar bahawa setiap wang yang dibelanjakan hasil daripada rasuah merupakan wang haram dan tidak boleh digunakan untuk keperluan harian anak-anak. Hal ini demikian kerana, dalam agama Islam terutamanya, melarang keras penganutnya melakukan amalan ini dan jika mereka membeli makanan daripada wang hasil rasuah makanan itu haram diberikan kepada anak-anak untuk dimakan kerana makanan yang haram dapat menggelapkan hati manusia. Oleh itu, didikan agama amat penting dan merupakan asas untuk membendung segala masalah sosial seperti rasuah.

Setiap punca masalah ynag berlaku pasti ada jalan penyelasaiannya bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita ingin membendung gejala ini, pasti ada langkahnya. Ibu bapa dan guru perlu menanamkan nilai murni dalam jiwa setiap anak tentang keburukan rasuah. Hal ini demikian kerana, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sendiri perlulah bersikap jujur kepada diri sendiri iaitu, ibu bapa sendiri perlulah menjauhi amalan rasuah kerana jika ibu bapa yang melakukan rasuah dan cuba untuk menasihati anak-anaknya untuk tidak melakukan perkara itu, nescaya anak itu tidak akan mendengar nasihat ibu bapanya. Hal ini disebabkan oleh ketidakcekapan ibu bapa untuk menanam atau memupuk nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Pihak guru juga boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah ini kepada pelajar-pelajarnya sebagai pengetahuan juga sebagai teladan dalam kehidupan seharian. Dengan itu, kerjasama daripada pihak ibu bapa dan guru boleh melahirkan pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni yang baik dan benci kepada amalan rasuah.

Kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk membendung amalan ini juga amat penting. Kerajaan telah menggubal Pelan Integriti Nasional PIN. Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia  dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysi. Institut Integriti Malaysia (IIM), ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.  Kedua dua in juga ditubuhkan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan tentang keburukan rasuah. Pada tahun 2008, Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah SPRM telah diluluskan di Dewan Rakyat dan ia bermaksud SPRM diberi kuasa penuh untuk menghapuskan rasuah. Oleh itu, rasuah merupakan penyakit yang perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih serius.


 Tuntasnya, semua pihak tidak kira pangkat atau harta, mestilah bersatu dan menggembleng tenaga untuk memeastikan rasuah gejala yang berjangkit ini dapat diatasi. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Rasuah  juga terjadi disebabkan faktor dalaman dan luaran. Rasuah juga berlaku di mana-mana sahaja tanpa batas waktu dan tempat. Pihak berkuasa terutamanya perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala ini kerana umum diketahui, ramai pihak berkuasa menerima rasuah dan tidak amanah melaksanaknan tugas dan tanggungjawab. Harapan saya agar amalan rasuah ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Tindakan yang diambil hendaklah saksama dan bukan sekadar terhadap golongan “ikan bilis” tetapi juga terhadap golongan atasan. Mereka yang bersalah wajar dikenakan hukuman yang berat kerana telah mereka telah menconteng arang kepada negara kita.